jump to navigation

Belasungkawa : Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain, Tokoh Murabbi Dakwah dan Tarbiah (1934-2010) September 21, 2010

Posted by hafizuddins in MATRI.
trackback

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Masih terngiang-ngiang tutur kata beliau yang sederhana dan lembut tetapi tegas. Masih terbayang-bayang raut senyumnya menguntum mekar tak pernah layu. Masih berbekas dihati rindu pesanan-pesanan ringkas, padat dan mudah dilaksana. Itulah sosok tubuh Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain(UDMZ) yang masih segar dalam ingatan kekal takkan padam.

Saya bukanlah orang yang terdekat dengan ustaz, dekat dari hubungan kekeluargaan dan lamanya kenal seperti sahabat-sahabat mula bersama ustaz.  Tetapi mungkin saya dipilih Allah untuk merasai manisnya Tarbiah dan Dakwah pabila menjadi pelajar Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) dari tahun 1998 hingga 2003. Saya tidak pasti ustaz mengenali saya atau tidak. Yang pastinya saya orang kecil menumpang dan dipilih Allah dalam kelompok yang besar menuju redha-Nya. Namun saya rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu untuk Almarhum ustaz.

Semasa di MATRI, ustaz muncul di Perhimpunan mingguan dan Ijtima’am. Jarang sekali saya mampu mendekati Ustaz. Saya amat kagum dengan kesungguhan ustaz dalam mendidik. Adapun begitu, saya berpeluang belajar bersama ustaz semasa Khassah (Tingkatan 6 ) seketika.  Saya bersyukur kepada Allah mengizinkan saya merasai sentuhan Tarbiah yang amat bermakna dari ustaz yang membawa saya untuk terus menerus menjadi sebenar hamba pada-Nya. Ustaz memberi harapan yang penuh bermakna terus kepada saya. Keperibadian ustaz amat tinggi nilaianya. Seingat saya, pernah saya dan sahabat menziarahi ustaz di rumah beliau. Ketika itu arwah Ummi Halimaton patah kaki, ustaz pula sakit gout. Ustaz dengan sungguh-sungguh meraikan kami sebagai tetamu sehinggakan ustaz sendiri pergi mengait buah mangga untuk kami. Besar qudwah ustaz sehingga terkesan ke sanubari.

Almarhum UDMZ bukan insan sebarangan. Dengan kesabaran,keikhlasan dan matlamat yang jelas. Fikrahnya hidup menerobos ke dalam hati-hati yang ingin Islam dan melahirkan rijal-rijal yang membawa misi Dakwah. Tangan ustaz telah banyak mengukir insan soleh dan mosleh. Jiwa ustaz sentiasa muda, sungguh-sungguh, tidak mengenal erti  jemu dalam mendidik.

Suatu pagi yang tenang, suasana aman dan tenteram bertarikh 18 September 2010 sekitar jam 9.55pagi Ustaz pergi bertemu-Nya buat selama-lamanya. Ustaz pergi sebagai satu tugas sebagai seorang insan. Tugasnya di dunia telah selesai.  Tugas untuk membawa Bahtera Dakwah&Tarbiah.  Semoga Al-Fadhil UDMZ dimasukkan Allah dalam golongan bertaqwa. Ayuh!!sama-sama kita berdoa agar Al-Fadhil Ustaz Dahlan bahagia di akhirat sana dan kita juga terus menerus berjuang pada jalan-Nya.

Mohd Hafizuddin Mohd Shukri

21 September 2010

Bidor, Perak.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Posts

  • Top Posts

  • Archives

  • Blog Stats

  • Wacana Ibadah dan Ukhuwah

  • %d bloggers like this: