jump to navigation

Cerita Tentang Kekasih II April 16, 2010

Posted by hafizuddins in Idealis, Keluarga.
trackback

Dalam hidup ini pastinya kita mempunyai kisah kasih bersama insan yang sungguh bermakna dalam hidup kita. Kisah kasih bersama insan tersebut mungkin membuat kita tidak tidur malam, tidak selera makan, dan sebagainya kerna mempunyai nilai makna yang tersendiri. Dialah segalanya, dia perobah hidup kita dan inspirasi kita.Saya ingin coret kisah kasih saya di sini,permisi.

Coretan ini adalah coret-coret halus dan teliti buat ayahanda saya, Tn. Hj. Mohd Shukri Hj Kassim. Walaupun coretan ini berkisar tentang hidup ayahanda dan saya tetapi ingin saya tonjolkan peribadi yang unik dan terkesan dalam membimbing saya dan adik-adik menjadi insan berguna.Ayahanda adalah insan terdekat yang paling saya kagumi di dunia ini. Beliau seorang yang tegas dalam keputusan, penyayang dalam diam dan marah kerna kasih.

Saya anak pertama ayah dan bonda. Dari kecil saya hampir kepada ayahanda walaupun saya dijaga oleh allahyarhamah nenda. Memori bersama ayahanda terpahat dalam hidup saya setelah saya pulang tinggal bersama ayahanda dan bonda semasa umur 8 tahun.

Ayahanda adalah seorang guru. Beliau guru Bahasa Melayu dan Kajian Tempatan. Beliau juga adalah guru disiplin dan guru penolong kanan Hal Ehwal Murid. Seingat saya, hari pertama saya memasuki persekolahan ayah mengajar saya saya baca dan tulis karangan bertajuk ‘saya sebuah basikal’. Di hari pertama darjah 2, saya telah dilantik menjadi pengawas. Kata ayah, ‘kamu harus jadi pemimpin. Pemimpin yang merobah dunia’. Saya masih lagi tidak mengerti waktu ketika itu, yang saya tahu adalah pakaian saya berwarna biru membezakan antara rakan-rakan yang lain. Semasa darjah 2 juga ayah telah membawa saya berjumpa ustazah Halimaton. Sekali lagi ayah memberi harapan, ‘Kamu mesti mewakili sekolah dalam hafazan Al-Quran’.

Dalam hidup ini, seingat saya sekali saja ayahanda pernah menampar saya pada umur 7 tahun. Mungkin tamparan itu menyebabkan otak saya mula berfikir. Antara baik dan buruk. Antara syurga dan neraka. Ayahanda seringkali merotan,meluku, menampar rerakan saya kerana tugasnya sebagai guru disiplin. Banyak contoh membuatkan saya takut didenda dan dimarahi ayah.

Sewaktu darjah 3, ayahanda nampak saya tidak punyai kawan di kampong kerna rumah saya jauh di hujung kampong. Oleh itu ayahanda membawa saya ke padang bola untuk saya bermain dan mengenali kekanak yang lain. Sampai di padang,ayah memberi semangat,’main sungguh sampai kamu jadi pemain sekolah’. Setelah 3kali ayah menghantar ke padang, saya mampu sendiri ke sana berkayuh basikal.

Ayahlah tak jemu-jemu menghantar saya dan adik-adik pergi mengaji Al-Quran. Tak jemu-jemu meniup semangat kami untuk sungguh belajar. Belajar sampai dapat nombor satu. Kata ayah nombor satu banyak hadiah. Jadi kami adik beradik berusaha untuk memperolehi sebanyak mungkin hadiah dan nombor satu. Saya tahu ayah berbangga semua anak-anaknya berjaya.

Ayah juga selalu mengajar saya berkebun. Menanam pokok durian, cempedak, rambutan dan sebagainya. Seingat saya beribu pokok telah disemai. Sampai ia menjadi kebiasaan. Bila tiada aktiviti penyemaian pasti saya tanyakan ayah. Buah-buah di kebun nenda seperti rambai dan manggis pernah ayah jualkan di pasar. Pertama kali saya ikut ayah berniaga,habis semua buah di jual. Sebenarnya ayah bukan sahaja pernah jual buah tetapi jual pakaian sekolah, jual kain pelikat, dan menternak ayam daging.Jelas ayah juga seorang peniaga.

Teringat saya, ayah juga pemimpin masyarakat. Dipimpinnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah saya dulu dan ayah juga ketua Relawan kawasan Jeniang sekarang. Dahulunya semasa darjah 3, rumah ayah menjadi kubu kuat Parti Semangat 46 parlimen Merbok untuk pilihanraya 1994 dan ayah pernah menjawat Setiausaha Agung Perhubungan Parti Semangat 46 Kedah. Itu dulu,ayah seorang politikus. Sekarang ayah senang tanpa politik demokrasi tempang.

Sewaktu saya di darjah 6, ayah telah menyambung pelajaran ke Universiti Malaya. Saya terasa sepi, ayah pergi, tiada di sisi. Suara ayah lantang  merentasi padang sekolah, pelajaran bahasa melayu dan kajian tempatan ayah ajar masih lagi di ingatan. Walaupun saya ketua pengawas tetapi saya tidak dapat menjadi pemain bola sekolah. Bonda tidak benarkan, UPSR perlu saya tumpukan. Malam sebelum bermulanya UPSR,subjek pertama adalah bahasa melayu penulisan. Sekali lagi, ayah mengajar karang karangan untuk UPSR. Walaupun semasa UPSR,semua pengawas peperiksaan adalah kawan-kawan baik ayah yang ikhlas ingin membantu saya mendapat 5A. Namun keputusan UPSR saya amat mengecewakan ayah kerna ayah mahukan saya masuk sekolah berasrama penuh. 3A 1B 1C keputusan saya, C itu bahasa melayu penulisan. Saya amat kecewa. Tetapi ini hakikatnya, Allah melorongkan saya ke sekolah yang terbaik di dunia, Ma’had Attarbiyah Al-Islamiah, (MATRI Perlis).

Hari ini, ayah masih mengajar. Ayah masih setia menjadi guru di hujung perkhidmatannya. Kaki ayah sakit-sakit kebas. Jalan ayah tidak selaju dahulu. Ayah tidak seaktif dulu. Semasa di MATRI, ayah tidak pernah menyuruh saya membantunya berkebun, berniaga atau sebagainya. Kata ayah ‘kamu mesti belajar dan terus belajar sampai ke universiti’. Seingat saya, cuti semester semasa saya di tingkatan 1, ayah membawa kami sekeluarga ke Universiti Malaya. Ayah pergi tunjukkan dewan kuliah tempat ayah belajar. Kata ayah ‘Ayah, Mak Teh dan Mak usu dari UM. Kamu mesti ke sini suatu hari nanti.’

Sebenarnya banyak lagi garis-garis halus coret buat ayah. Ayah seorang yang tegas dalam diam, romantis bila berkata, jarang senyum kerna senyuman ayah menawan agaknya. Kepada adinda Hafizah, Hazwani, Hakimi dan Hazirah,ingatlah ayah. Ayah semesti ingat adinda semua. Mana pernah ayah lupakan semua anak-anaknya. Pasti ayah akan mengambil berat seberatnya seluruh hidup anak-anaknya. Beliau banyak mengajar dari kesungguhan dan meniup harapan dalam diri saya.

Ayahku seorang Guru

Ayahku seorang petani

Ayahku seorang peniaga

Ayahku seorang pemimpin masyarakat

Ayahku hanya seorang

Harapannya besar

Lebih daripada Guru,petani,peniaga dan pemimpin masyarakat

Kepadaku

Adikku semua,

Ingatlah!

Sakit sihat ayah

Pesan marah ayah

Ayah hanya seorang

Ingin lihat kita jadi insan berguna

Insan sebenar-benar hamba pada-Nya.

Salam ulangtahun perkahwinan ayahanda & bonda yang ke-26 tanggal 9 April lalu. Ayuh adindaku sekalian!! mari kita utuskan doa dan ingatan pada ayahanda&bonda selalu. Moga-moga hidup mereka sentiasa dirahmati dan diredhai Allah seluruhnya.


Mohd Hafizuddin Mohd Shukri

Rumah Belia Petaling Jaya

9 April 2010

Comments»

1. MAG - April 16, 2010

I can feel it!.
Artikel yang meluruhkan segala kesombongan atma dalam diri ini.
Ayahku seorang guru juga!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  • Recent Posts

  • Top Posts

  • Archives

  • Blog Stats

  • Wacana Ibadah dan Ukhuwah

  • %d bloggers like this: